HAMKA
Pengenalan
Alam
Melayu pernah melahirkan ramai ulama yang disegani, sasterawan yang prolifik,
penulis yang kreatif dan aktivis masyarakat yang dihormati. Namun begitu,
tidak ramai tokoh yang dilahirkan memenuhi kesemua ciri istimewa ini untuk
dicatatkan dalam sejarah sebagai tokoh yang sumbangannya dimanfaatkan sepanjang
zaman. Dalam konteks inilah terletaknya keistimewaan HAMKA kerana sepanjang
hayatnya beliau telah memberikan sumbangan dalam pelbagai cabang ilmu
pengetahuan. Kebolehan HAMKA sebagai seorang penulis yang menguasai pelbagai
cabang ilmu pengetahuan membolehkan idea dan perjuangannya terus dapat
dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat hingga ke hari ini.
Kewujudan
manusia HAMKA juga amat penting sebagai penyambung kepada hubungan sesama umat
di Alam Melayu. Melalui perantaraan Bahasa Melayu HAMKA akan terus dikenang
sebagai seorang yang berjuang dengan menjadi bahasa, budaya dan agama Islam
sebagai unsur penyatuan bagi bangsa serumpun. Walaupun sudah lebih dua dekad
meninggal dunia, namun khazanah pemikiran HAMKA masih boleh dibaca dan difahami
oleh pelbagai lapisan masyarakat yang dipisahkan oleh batas geografi. Khazanah
ini akan terus menjadi sumbangan berguna pada masa-masa akan datang bagi
generasi yang ingin menelusuri pemikiran lampau bagi membuat perancangan pada
masa akan datang.
Sejarah
Hidup HAMKA
HAMKA
atau nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah dilahirkan pada 17 Februari
1908 bersamaan 14 Muharram 1326 Hijrah di Sungai Batang, di pinggir Tasik
Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya Haji Rasul amat dikenali sebagai
seorang pemimpin Kaum Muda di tanah Minangkabau. Pada tahun 1918 ketika berusia
sepuluh tahun ayahnya telah mendirikan sebuah pesantren di Padang Panjang yang
diberi nama Sumatera Thawalib. Ketika berusia 21 tahun setelah kembali dari
Makkah, HAMKA telah berkahwin dengan Siti Raham binti Endah Sutan dan dikurniakan
dengan sepuluh orang anak.(1)
HAMKA mendapat pendidikan awal daripada ayahnya. Walaupun
mendapat pendidikan yang agak asas, namun beliau berjaya menguasai bahasa
Melayu dan bahasa Arab dengan baik. Sepanjang hayatnya pembelajaran yang
diterima oleh HAMKA lebih merupakan tidak formal, termasuklah melalui
pengalamannya melawat seluruh dunia. Dalam dunia pembelajarannya, HAMKA juga
banyak menimba ilmu daripada abang iparnya, iaitu A.R Sutan Mansur, dan ketika
berada di Mekah selama enam bulan pada tahun 1927.
Sebagai seorang pemikir dan penulis yang prolifik,
sepanjang hayatnya, HAMKA telah menulis sebanyak 118 buah buku. Ini tidak
termasuk tulisan-tulisannya yang diterbitkan di dalam akhbar dan majalah
seperti majalah Panji
Masyarakat yang dipimpinnya sehingga ke akhir hayatnya.(2) Karya terbesar yang
dihasilkan oleh HAMKA ialah tafsir al-Quran yang diberi nama Tafsir Azhar. Selain
tafsir ini, HAMKA juga telah menghasilkan karya dalam pelbagai disiplin,
merangkumi tulisannya yang berkaitan dengan persoalan agama, tafsir, falsafah,
novel, biografi dan sejarah. Sumbangan HAMKA dalam bidang ilmu pengetahuan
telah diberikan pengiktirafan apabila dianugerahkan dengan Doktor Honororis
Causa oleh Universiti al-Azhar Mesir pada 10 Mac 1958 dan Doktor Persuratan
oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 8 Jun 1974.(3)
HAMKA juga merupakan seorang aktivis masyarakat yang
tidak pernah mengenal penat lelah dalam usahanya membangunkan masyarakat. HAMKA
sudah terlibat dengan perjuangan menentang Belanda sejak berusia 16 tahun
apabila pidatonya yang berkobar-kobar sering mengisi pentas gerakan anti
penjajah di daerah kelahirannya. HAMKA juga merupakan seorang aktivis gerakan
Islam dengan terlibat dalam gerakan Muhammadiyah sejak tahun 1930. HAMKA
merupakan antara penggerak utama gerakan tersebut di Sumatera Barat dan
Sumatera Tengah.(4)
Berikutan meletusnya revolusi menentang penjajah Belanda,
HAMKA telah melibatkan diri sebagai pemimpin Front Pertahanan Nasional di
Minangkabau. Pada tahun 1955 HAMKA telah dipilih menjadi anggota Konstituante
mewakili Parti Masyumi. Pada 27 Februari 1964 HAMKA telah ditahan oleh rejim
Sukarno kerana dituduh bersekongkol dengan agen kerajaan Melaysia bagi
mengguling pemerintahan Republik Indonesia. Berikutan kegagalan Gerakan 30
September 1965 yang didalangi oleh Partai Komunis Indonesia (PKI) dan peletakan
jawatan Sukarno, HAMKA telah dibebaskan pada 21 Januari 1966.(5) Pada tahun 1975, HAMKA
telah dilantik menjadi Ketua Umum Majlis Ulama Indonesia (MUI), tetapi meletak
jawatan pada bulan Mei 1981. HAMKA meninggal dunia pada 24 Julai 1981 ketika
berusia 73 tahun. Sehingga ke akhir hayatnya, HAMKA memegang jawatan sebagai
Penasihat Pimpinan Pusat Muhammadiyah.(6)
Penerokaan Kajian Proses Pengislaman Orang Melayu
Tulisan ini cuba untuk membincangkan satu daripada aspek
sumbangan pemikiran HAMKA dalam satu cabang ilmu, iaitu dalam ilmu sejarah.
Seperti juga dengan bidang-bidang keilmuan lain yang pernah diterokainya, HAMKA
sebenarnya bukanlah seorang yang dididik sebagai seorang sejarawan dalam
ertikata menerima ijazah atau dilatih dalam bidang tersebut. Walaupun demikian,
penelitian ke atas tulisan HAMKA dalam bidang ini menunjukkan bahawa beliau
mampu menguasai bidang ilmu ini apabila berjaya menepati kehendak disiplin ilmu
tersebut. Ini membolehkan karyanya dijadikan rujukan dan menjadikan beliau
sebagai seorang yang dihormati oleh para ilmuwan sejarah.
Karya sejarah terbesar yang dihasilkan oleh HAMKA ialah
Sejarah Umat Islam. Bagi menghasilkan buku ini HAMKA telah mengambil masa
selama 22 tahun dari tahun 1939 hingga tahun 1961 untuk membuat kajian dan
menulisnya buku ini.(7) Kesulitan dan ketabahan
HAMKA menghasilkan buku ini diluahkan oleh HAMKA dalam “Pengantar” bagi jilid I
Sejarah Umat Islam,
sebagaimana yang diungkapkan:
“Berkali-kali kita telah pindah, sejak dari Medan sampai
Padang Panjang, sampai Maninjau dengan isteri dan tujuh anak. Kadang-kadang
berciciranlah barang kecil-kecil dan kitab-kitab tetapi naskhah ‘Sejarah Umat
Islam’ tetap dipelihara baik dan dijaga rapi, sehingga selamat tidak kurang
sehelai jua pun.”(8)
Selain Sejarah Umat Islam, HAMKA juga menghasilkan
beberapa buah buku lain yang berkaitan dengan sejarah. Ini termasuklah Sejarah Islam di Sumatera
(1950), Dari Perbendaharaan
Lama (1963), Ayahku
(1967), Tunku Rao, Antara
Fakta dan Khayal (1970) dan Sejarah
Muhammadiyah di Minangkabau (1967).(9) Selain buku-buku sejarah
ini, HAMKA juga turut menulis beberapa buah buku tentang pemimpin gerakan
pembaharuan. Ini termasuklah buku-bukunya yang berjudul Kjai Ahmad Dahlan,(10) Pengaruh Muhammad Abduh di Indonesia,(11) dan Said Djamaluddin Al-Afghany Pelopor
Kebangkitan Muslimin.(12)
Tulisan HAMKA dalam bidang sejarah yang akan dibincangkan
dalam kertas kerja ini adalah yang berkaitan dengan sumbangan pemikirannya
dalam penulisan sejarah Islam di Alam Melayu. Tulisan HAMKA berkaitan dengan
sejarah Islam di Alam Melayu ini merupakan antara tulisan terawal tentang
persoalan ini yang ditulis oleh seorang pengkaji Melayu. Sebagai sebuah kajian
awal, tidak dapat dinafikan tulisan ini mempunyai beberapa kelemahan, tetapi
buah fikiran yang dikemukakan oleh HAMKA dalam tulisannya itu telah memberikan
sumbangan yang besar bagi pengkaji terkemudian yang membuat kajian tentang
persoalan ini. Walaupun tidak menyebut sumber rujukannya, tetapi tulisan Syed
Naguib Al-Attas dalam buku yang diterbitkan pada tahun 1969, iaitu Preliminary Statement, on the General
Theory of Islamization of the Malay-Indonesia
Archipelago, jelas memperlihatkan terdapat beberapa persamaan dari
segi hujah tentang teori pengislaman di Alam Melayu dengan tulisan HAMKA
yang ditulis pada tahun 1961.(13)
Dalam bukunya tentang Sejarah
Umat Islam yang ditulis dalam empat jilid, HAMKA telah menjadikan
jilid keempat secara khusus membincangkan tentang, “Perkembangan Islam Di Nusantara”.(14) Dalam kata pengantarnya
tentang jilid keempat ini, HAMKA menyatakan bahawa jilid inilah yang paling
sukar untuk beliau siapkan kerana terpaksa berhadapan dengan masalah kekangan
masa dan masalah mendapatkan sumber rujukan yang diperlukan. Disebabkan masalah
yang dihadapi ini HAMKA terpaksa mengambil masa selama lima belas tahun bagi
menyiapkan tulisannya yang mengandungi sebanyak 283 halaman sebelum berjaya
diterbitkan pertama kalinnya pada tahun tahun 1961.(15)
Tulisan HAMKA tentang sejarah “Perkembangan Agama Islam
di Nusantara” dimulakan dengan menghuraikan tentang asal-usul bangsa, bahasa
dan agama orang Melayu sejak zaman purbakala sehinggalah kedatangan agama Hindu
dan Buddha. Walaupun HAMKA menyedari tentang pengaruh kedua-dua agama ini dalam
masyarakat di Nusantara, namun beliau tidak mengagungkannya sebagai satu
tinggalan agama-budaya yang terlalu berpengaruh di dalam masyarakat.(16) Seterusnya HAMKA
menghuraikan pula dengan panjang lebar tentang penyebaran agama Islam ke Alam
Melayu, termasuklah proses, pembentukan kerajaan Islam di Samudera-Pasai,
kerajaan Islam Melaka dan perluasan pengaruh Islam di Pulau Jawa, Aceh, Johor,
Maluku serta Banten. Dalam perbincangannya HAMKA turut menghuraikan pengaruh
dan kesan mendalam agama Islam ke atas masyarakat Melayu. Bagi melengkapkan
huraianya tentang perkembangan Islam di Alam Melayu, HAMKA juga menghuraikan
pertembungan yang berlaku di antara Islam dengan penjajah Barat di rantau ini
pada abad ke-16 dan ke-17.
Kertas kerja ini akan memberikan tumpuan yang khusus
kepada proses penyebaran agama Islam ke Alam Melayu dengan merujuk kepada
Bahagian Ketujuh Sejarah Umat Islam. Proses ini penting kerana pada hari ini
Alam Melayu merupakan rantau yang mempunyai penganut agama Islam yang teramai
di dunia. Hakikat ini menyebabkan proses yang merubah sama sekali perjalanan
sejarah rantau ini mendapat perhatian para orientalis dan pengkaji Barat.
Minat ini ditambah pula dengan kedudukan geografi Alam Melayu yang jauh dari
Timur Tengah, iaitu sumber tersebarnya agama Islam. Di samping itu tidak
terdapat bukti yang kukuh yang menunjukkan bahawa terdapat sebarang ekspedisi
ketenteraan atau misi dakwah yang terancang yang dilakukan oleh pemimpin
Islam dari Timur Tengah atau Benua Kecil India yang dihantar bagi menyebarkan
Islam ke rantau ini. Disebabkan banyak persoalan sejarah tentang proses ini
yang tidak terjawab menyebabkan proses yang membawa kepada pengislaman orang
Melayu terus menjadi tumpuan kajian dan sering mencetuskan polemik hingga kini.(17)
Kritikan HAMKA Terhadap Penulis Barat
Dalam tulisannya tentang proses yang membawa kepada
tersebarnya Islam ke Alam Melayu HAMKA telah memberikan perspektif yang agak
berbeza dengan pandangan yang sering dikemukakan oleh sarjana dan orientalis
Barat. HAMKA dengan tegas menjelaskan bahawa penerimaan orang Melayu terhadap
agama Islam adalah berkait erat dengan keluhuran agama tersebut. Pandangan
beliau ini adalah bagi menyanggah pendapat yang diberikan oleh sarjana dan
orientalis Barat sebelum ini yang seolah-olah sudah diterima secara mutlak
bahawa penyebaran agama Islam ke rantau ini berlaku secara kebetulan, kerana
faktor persaingan pengaruh dan sebagainya.
Disebabkan usaha yang dlakukan oleh HAMKA menulis
“Perkembangan Islam di Nusantara” merupakan satu usaha penerokaan, beliau
terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang mencabar, terutamanya bagi
mendapatkan bahan-bahan rujukan yang diperlukan bagi menghasilkan tulisan
yang meyakinkan. Ketika HAMKA menerokai bidang ini sebahagian besar tulisan tentang
penyebaran Islam ke Alam Melayu dilakukan oleh penulis Barat. Lantaran itu,
dalam tulisannya HAMKA mengakui bahawa beliau tidak dapat lari daripada merujuk
bahan-bahan yang diperoleh dari sumber penulis Barat ini. Namun begitu, HAMKA
amat berhati-hati dalam menerima pandangan yang dikemukakan oleh
penulis-penulis ini kerana tulisan mereka ini sering tidak dapat lari daripada
motif ‘tersembunyi’ iaitu untuk memenuhi kepentingan kolonial dan usaha
menyebarkan agama Kristian.(18)
Bagi mengimbangi pandangan yang diberikan oleh penulis
Barat dan bagi membolehkan tulisannya memberi perspektif baru tentang
penyebaran Islam ke Alam Melayu, dalam tulisannya HAMKA banyak menjadikan
sumber-sumber tradisional Melayu sebagai sumber rujukan yang penting. Walaupun
begitu, penggunaan sumber-sumber tempatan ini tidak menjadikan HAMKA
tidak rasional dalam tulisannya kerana sumber-sumber tempatan ini juga
dianalisis dengan kritikal kerana HAMKA sendiri turut meragui kebenaran
sebahagian sumber-sumber tersebut kerana sering bercampur aduk antara fakta dan
mitos.(19)
Tulisannya yang menggabungkan sumber Barat,
tempatan dan juga Arab menjadikan karya HAMKA ini mempunyai keistimewaannya
yang tersendiri kerana berjaya memberikan perspektif yang seimbang dalam
huraiannya tentang proses tersebarnya Islam ke Alam Melayu. Sebelumnya, isu ini
secara eksklusif diterokai dan diwarnai oleh para sarjana dan orientalis barat
yang menulis berdasarkan persepsi dan interpretasi mereka sendiri yang
kadang-kadang bercanggah dengan perspektif tempatan. Walaupun begitu, HAMKA
tidak menolak bulat-bulat tulisan yang dilakukan oleh sarjana Barat kerana
terdapat di kalangan mereka bersungguh-sungguh membuat kajian tentang
penyebaran Islam di rantau ini dan menerbitkannya untuk tatapan umum.(20)
Walaupun tulisan HAMKA cuba memberikan perspektif baru
tentang proses penyebaran Islam ke Alam Melayu, namun tulisan beliau masih
mempunyai ruang untuk pengkaji yang terkemudian membuat penelitian lanjut dan
memberikan perspektif baru yang lebih komprehensif bagi isu yang akan secara
berterusan dipolemikkan ini. Dengan penemuan pelbagai maklumat baru seperti
wang syiling, batu nesan dan lain-lain sumber sejarah dan akeologi
membolehkan pandangan yang pernah dikemukakan oleh HAMKA diperkukuhkan.
Penerokaan tulisan yang dibuat oleh HAMKA membolehkan penulisan tentang proses
yang membawa kepada pengislaman orang Melayu berada di landasan yang betul dan
mengelakkan daripada berlakunya penyelewengan yang bertujuan merendah-rendah
proses yang telah merubah arah tuju perjalanan sejarah rantau ini dan dunia
umumnya.
Teori HAMKA Tentang Pengislaman Orang Melayu
Dalam tulisannya, HAMKA merujuk rantau ini sebagai
“Nusantara” iaitu satu istilah Jawa kuno yang kemudiannya dipopularkan oleh
Vlekke untuk rantau yang identiti politiknya yang terbesar kini dikenali
sebagai Indonesia dan Malaysia.(21) Sebenarnya penggunaan
ungkapan “Nusantara” dalam konteks pengkajian tentang penyebaran Islam ke
rantau ini bukan sahaja tidak tepat, malahan boleh menimbulkan kekeliruan.
Lantaran itu bagi mengelakkan daripada timbulnya kekeliruan ini, dalam
tulisannya tentang pengislaman orang Melayu Syed Muhammad Naguib al-Attas lebih
cenderung menggunakan nama rantau ini sebagai Kepulauan Melayu-Indonesia.(22) Kini istilah yang
semakin popular digunakan bagi merujuk rantau yang didiami oleh orang Melayu
yang beragama Islam ini ialah Alam Melayu atau Dunia Melayu.
Walaupun HAMKA menggunakan istilah Nusantara, namun ini
tidaklah sampai mencacatkan tulisannya tentang penyebaran agama Islam ke Alam
Melayu. Dalam tulisannya HAMKA telah mengetengahkan pandangan yang kemudiannya
turut dipegang oleh sarjana-sarjana tempatan yang lain, seperti
S.Q. Fatimi dan Syed Muhammad Naquib al-Attas. Ini khususnya yang berkaitan
dengan perspektif murni yang diberikan yang membawa kepada tersebarnya Islam di
kalangan orang Melayu. Dalam konteks ini perbincangan yang dibuat HAMKA telah
mengemukakan hujah bagi menyokong bahawa proses pengislaman orang Melayu
berlaku melalui peranan penting unsur yang datang langsung dari sumbernya yang
asal, iaitu dari Timur Tengah. Dengan mengetengahkan pendapat ini, HAMKA telah
memasukkan unsur-unsur kerohaniannya yang melambangkan kesucian dan keaslian
Islam yang disebarkan ke Alam Melayu.
Perbincangan tentang proses yang membawa kepada penyebaran
Islam ke Alam Melayu akan melibatkan perbincangan yang membabitkan tiga isu.
Isu-isu tersebut ialah bila tarikh sebenar Islam diperkenalkan kepada orang
Melayu, dari manakah asal-usul pendakwah yang menyebarkan agama tersebut dan
bagaimanakah proses ini boleh berlaku dengan begitu berkesan sekali. Dalam
menghuraikan ketiga-tiga isu ini kelebihan yang terdapat dalam hujah yang
diberikan oleh HAMKA ialah beliau telah mempelopori pendekatan yang memberikan
perspektif tempatan tentang proses yang membawa kepada penyebaran Islam ke Alam
Melayu.
Isu pertama yang menimbulkan perbincangan tentang
penyebaran Islam di Alam Melayu adalah berkaitan dengan bilakah tarikh tepat
agama Islam mula disebarkan di rantau ini. Dalam tulisannya, HAMKA cenderung
berpendapat bahawa agama Islam telah diperkenalkan di rantau ini pada awal abad
Hijrah (abad ketujuh Masihi). Pendapat yang beliau kemukakan ini adalah
berdasarkan kajian yang lakukan dengan merujuk sumber Cina.(23) Pendapat yang
dikemukakan juga adalah dengan bersandar kepada tulisan oleh seorang
sarjana Barat, iaitu T.W. Arnold yang mengaitkan penyebaran agama Islam
dengan peranan yang dimainkan oleh pedagang-pedagang Arab. Dalam kajiannya,
T.W. Arnold mendapati bahawa pedagang-pedagang Arab telahpun menjalin hubungan
perdagangan dengan rantau sebelah timur sejak sebelum abad Masihi lagi. Pada
abad kedua Sebelum Masihi hampir keseluruhannya perdagangan di Ceylon
berada di tangan orang Arab. Menjelang abad kesembilan Masihi kegiatan
perdagangan orang Arab dengan Ceylon semakin meningkat apabila meningkatnya
hubungan perdagangan antara orang Arab dengan China. Menurut rekod sejarah,
menjelang pertengahan abad kelapan Masihi pedagang-pedagang Arab dapat ditemui
dengan ramainya di Canton. Dari abad ke-10 hingga abad ke-15, sebelum
kedatangan Portugis, orang Arab merupakan pedagang yang unggul dan hampir
tidak tercabar dalam menjalankan kegiatan perdagangan dengan Timur.(24)
Berdasarkan pandangan yang diberikan oleh T.W Arnold ini,
HAMKA berpendapat bahawa sudah semestinya apabila orang Arab memeluk agama
Islam mereka akan berusaha mernyebarkan agama tersebut di kawasan-kawasan di
mana mereka menjalankan kegiatan perdagangan. Namun begitu, hujah yang
dikemukan ini sukar untuk dibuktikan kerana ketiadaan maklumat bertulis yang
konklusif bagi menyokong pendapat yang diberikan. Lantaran itu, dari segi rekod
HAMKA bersetuju dengan pandangan yang umumnya disepakati, termasuklah oleh
sarjana Barat bahawa Samudera-Pasai (abad ke-13-14) adalah merupakan
kerajaan Melayu-Islam yang pertama yang diwujudkan di rantau ini.(25)
Sama seperti pengkaji-pengkaji yang lain, HAMKA - hujah
yang beliau berikan ini adalah dengan merujuk kepada maklumat yang ditulis oleh
pengembara Venice, iaitu Marco Polo. Dalam perjalanannya pulang dari lawatan ke
China, Marco Polo telah melawat Perlak pada tahun 1292 Masihi. Dalam
tulisannya, Marco Polo melaporkan bahawa pada waktu itu Perlak diperintah oleh
seorang pemimpin yang dikenali sebagai Al-Malikus Saleh. Dalam catatan
perjalanannya ketika singgah di kerajaan Islam di Sumatera Utara ini Marco Polo
melaporkan bahawa beliau tidak melihat orang Islam di kawasan lain, kecuali di
Perlak. Dalam tulisannya juga Marco Polo turut membandingkan keadaan hidup
penduduk yang telah memeluk Islam dengan mereka yang masih mengekalkan cara
hidup tradisi. Penduduk yang telah memeluk agama Islam digambarkan hidup
sebagai manusia bertamadun dan hidup dalam keadaan teratur sedangkan penduduk
yang tinggal di kawasan pergunungan disifatkan sebagai masih hidup dalam keadaan
liar, dan malahan masih terdapat di kalangan mereka yang memakan daging
manusia.(26)
Setelah beberapa dekad pengkajian tentang kedatangan
agama Islam ke Alam Melayu dilakukan, penemuan-penemuan baru ternyata
membuktikan bahawa pendapat yang diberikan oleh HAMKA tentang Islam disebarkan
ke rantau ini beberapa dekad sebelum pembentukan kerajaan Samudera Pasai
mempunyai asas yang kukuh. Ini termasuklah kajian yang dibuat ke
atas batu nesan dengan tulisan Arab bertarikh 419H/1028M yang ditemui
di Teluk Cik Munah, Pekan, Pahang.(27) Berdasarkan kepada tahun
yang dicatatkan pada batu nesan tersebut enunjukkan bahawa Islam telah
disebarkan di situ selewat-lewatnya pada abad ke-11. Penemuan batu nisan Shaykh
Abdul Kadir Ibn Husayn Shah Alirah bertarikh 290H/902M di Tanjung Aris
(Inggeris), Alor Setar pula menunjukkan bahawa Islam telah tersebar lebih awal
dfi rantau ini. Berdasarkan tahun yang dicatatkan, Islam berkemungkinan telah
diperkenalkan di kawasan tersebut seawal-awalnya pada abad ke-10.(28)
Selain penemuan-penemuan ini terdapat juga penemuan lain
yang menunjukkan bahawa Islam telah diperkenalkan di rantau ini jauh lebih awal
daripada pembentukan kerajaan Perlak. Penemuan dinar Kelantan yang bertarikh
577H/1181M menunjukkan bahawa Islam telah diamalkan dan berpengaruh di negeri
tersebut menjelang abad ke-12.(29) Kesemua penemuan ini
menunjukkan bahawa Islam telah diperkenalkan di rantau ini jauh lebih awal
daripada kewujudan kerajaan Perlak sebagaimanan yang dilapor oleh Marco
Polo. Laporan Marco Polo bolehlah disimpulkan sebagai satu pembuktian bahawa
menjelang abad ke-13 Islam telah bertapak kukuh dan berkembang pesat di rantau
ini.
Penyebaran agama Islam ke Alam Melayu tidak dapat
dipisahkan daripada peranan yang dimainkan olerh bahasa Melayu dan tulisan
Arab. Dalam huraiannnya tentang tarikh bila Islam diperkenalkan ke Alam Melayu,
HAMKA tidak melanjutkan huraiannya yang berkaitan dengan pengenalan huruf-huruf
Arab dan hubungannya dengan penyebaran agama Islam, walaupun beliau ada
menyebut tentang kepentingan batu bersurat Terengganu.(30) Terdapat kemungkinan
ketika HAMKA membuat kajian tentang penyebaran Islam ke Alam Melayu kajian
tentang batu bersurat Terengganu ini masih belum dibuat secara terperinci.
Walau bagaimanapun, kajian terperinci tentang batu bersurat ini telah dilakukan
oleh Syed Muhammad Naguib al-Attas. Hasil penyelidikannya, batu bersurat yang
ditemui di Kuala Brang, Terengganu ini adalah bertarikh 1302 Masihi.(31) Penemuan batu bersurat
ini amat signifikan dalam kajian sejarah penyebaran Islam ke rantau ini kerana
penemuannya melengkapkan maklumat yang diberikan oleh Marco Polo, iaitu
terdapatnya penempatan umat Islam yang awal di kawasan tersebut, lebih
awal dari tarikh yang tercatat pada batu bersurat tersebut.
Walaupun secara muktamad tarikh sebenar Islam disebarkan
ke Alam Melayu sukar ditentukan oleh HAMKA dan para sarjana yang lain, namun
dengan wujudnya kerajaan Islam menjelang abad ke-13 membolehkan Islam
berkembang dengan pesat ke kawasan-kawasan di sekitarnya pada abad-abad
berikutnya.(32) Maklumat ini amat
penting bagi menangkis hujah dan putar belit fakta sejarah yang dikemukakan
oleh orientalis Barat yang yang cuba menyimpulkan bahawa penerimaan agama Islam
oleh orang Melayu adalah fenomena menjelang kedatangan kuasa Barat dan Kristian
pada abad ke-16. Ini termasuklah pandangan popular yang dikemukakan oleh
seorang sarjana Belanda yang mengkaji tentang penyebaran Islam di Alam Melayu,
iaitu B. Schrieke yang mengatakan bahawa pengislaman yang berlaku di Alam
Melayu hanya berkembang pesat menjelang abad ini berikutan berlakunya
persaingan antara pedagang Islam dengan orang Portugis yang sampai ke
kemuncaknya dengan penaklukan ke atas Melaka pada tahun 1511.(33)
Isu kedua yang mencetuskan polemik tentang penyebaran
Islam di Alam Melayu yang dibincangkan dengan ilmiah oleh HAMKA adalah
berkaitan dengan asal-usul pendakwah yang menyebarkan ajaran Islam kepada orang
Melayu. HAMKA dengan tegas menyanggah pandangan yang dikemukakan oleh para
sarjana dan orientalis Barat tentang asal-usul pendakwah ini dengan
bersandarkan kepada sumber rujukan bagi kajian penyebaran Islam ke Alam Melayu.
Walaupun pelbagai teori tentang asal-usul pendakwah ini telah dikemukakan oleh
para sarjana, termasuklah pendakwah yang berasal dari Champa dan China, namun
yang paling jelas penumpuan lebih diberikan kepada pendakwah yang berasal dari
India dan Semenanjung Tanah Arab. Sebahagian besar para orientalis dan sarjana
Barat yang mengkaji tentang penyebaran Islam ke Alam Melayu bersepakat membuat
kesimpulan bahawa Islam yang dibawa ke rantau ini adalah dibawa dari Benua
Kecil India bukan dari tempat-tempat lain, termasuklah dari Semenanjung Tanah
Arab atau Parsi.(34)
Dalam tulisannya, HAMKA menolak sama-sekali pendapat yang
dikemukakan oleh para orientalis dan sarjana Barat ini. Beliau berpendapat
bahawa pandangan yang dikemukakan oleh mereka ini adalah tidak bersikap jujur
dan merupakan pandangan yang mempunyai motifnya yang tersendiri sebagaimana
yang diungkapkan:
“…nampaknya adalah sebagai satu percubaan yang amat
teratur untuk menghilangkan keyakinan negeri-negeri Melayu tadi tentang
hubungan rohani yang mesra antara mereka dengan Tanah Arab sebagai sumber
pertama dari Islam.”(35)
HAMKA menyanggah pandangan yang diberikan oleh sarjana
dan orientalis Barat kerana mereka menolak teori yang mengatakan bahawa Islam
yang disebarkan ke Alam Melayu dibawa langsung dari Semenanjung Tanah Arab,
Sebaliknya, fakta yang seolah-olah diterima secara mutlak mengatakan bahawa
Islam dibawa ke rantau ini adalah dari Benua Kecil India. Sebenarnya teori yang
mengatakan bahawa pendakwah yang memainkan peranan mengislamkan orang Melayu
berasal dari India pada mulanya telah dikemukakan oleh seorang sarjana Belanda
bernama Pijnappel. Beliau adalah seorang profesor Pengajian Melayu di
Universiti Leiden, Belanda yang banyak membuat kajian tentang agama Islam di
Alam Melayu. Walaupun dalam kajiannya Pijnappel tidak menolak kemungkinan
bahawa Islam yang dibawa ke rantau ini diperkenalkan oleh orang Arab, namun
beliau berpendapat mereka ini tidak datang terus dari Semenanjung Tanah Arab,
tetapi sebaliknya datang melalui Gujerat dan Malabar.(36)
No comments:
Post a Comment