Friday, 10 August 2012

NOTA WAJ 3106- HUBUNGAN ETNIK


HUBUNGAN ETNIK
Definisi
Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan dan cara hidup (tingkah laku, kepercayaan dan sebagainya).
(Ianya mencerminkan segala perbuatan yang adakalanya dilakukan setiap hari ataupun musim sama ada berpandukan bulan atau tahun. Itu ialah perkara yang selalu difahami khalayak berkenaan dengan adat. Suatu perkataan yang sinonim dengan adat ialah budaya. Walaupun dari aspek bunyinya ia berbeza, tetapi dari segi pengertiannya, ia adalah konsep yang saling bergantung dan sama).
(Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat perlaksanaanya, misalnya kita melihat adat bercukur, adat bersanding dan sebagainya, itu sudah menjadi suatu budaya. Maknanya, budaya ialah suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat itu).
(Budaya yang difahami dan dilihat, hakikatnya ialah adat. Budaya bersifat tidak tetap iaitu boleh berubah, Justeru wujud pengkelasan budaya tradisional dan budaya moden, ini menunjukkan budaya lama dan budaya hari ini tidak sama, maka ia jelaslah boleh berubah. Adat pula ialah suatu ketetapan yang tidak boleh berubah, oleh itu bolehlah kita katakan adat sebagai budaya yang asal).

kepentingan
kepentingan adat dalam membentuk budaya Malaysia pada hari ini, kita akan membicarakan tentang kepentingan budaya asal yang diubah untuk dijadikan budaya bersama rakyat Malaysia bagi :mewujudkan identiti dan peribadi rakyat majmuk yang bersifat seragam.adat yang menjadi penyatu bagi mewujudkan peribadi dan identiti kebangsaan,Adat bagi setiap kaum di Malaysia pastinya dilihat dari sistem nilai yang berbeza. Martabat adat itu sendiri berbeza kedudukanya bagi masyarakat Malaysia pada hari ini. Bagi masyarakat Minangkabau sebagai contoh, adat dianggap sebagai sebuah tradisi lisan yang tinggi sekali martabatnya dalam kehidupan mereka. Adat dalam konteks Minangkabau bukan sekadar cara bersanding, cara menyantap hidangan makanan, cara pertabalan Luak dan sebagainya, tetapi adat ialah suatu peraturan hidup yang perlu dipegang kuat oleh generasi mereka sehingga ke hari ini. Justeru tidak hairanlah jika didalam masyarakat mereka wujud istilah-istilah seperti “undang-undang adat”, “mahkamah adat”, “ketua adat” dan sebagainya. Begitu juga dengan lain-lain kaum di Malaysia, aspek adat masih lagi dianggap sebagai suatu pengungkap identiti bangsa dan terus dipertahankan walaupun ia sudah banyak berubah jika dibandingkan dengan perlaksanaanya suatu ketika dahulu.kita hendaklah mengetahui dahulu berkenaan aspek adat atau budaya yang menjadi identiti masyarakat yang pelbagai di Malaysia. Bagi maksud itu, didalam bahagian ini kita akan melihat aspek adat yang mencerminkan identiti tiga kaum utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India.

Masyarakat Melayu
Masyarakat Melayu ialah masyarakat asal di Tanah Melayu. Walaupun ada sesetengah sejarawan khususnya sejarawan Barat era kolonial mendakwa masyarakat Melayu juga masyarakat pendatang, namun ianya dapat dinafikan dengan mengetengahkan konsep merantau yang menjadi amalan masyarakat Melayu di Nusantara ketika itu.
Adat atau budaya kepercayaan orang melayu
Bercakap berkenaan adat atau budaya didalam masyarakat Melayu, ramai sarjana mengatakan bahawa adat Melayu merupakan adat jawi iaitu adat yang bercampur. Ini sesuai dengan pemahaman kita berkenaan proses pembentukan Melayu itu sendiri yang merupakan cantuman ras-ras kecil yang beragama Islam, maka wujudlah apa yang dipanggil Melayu itu. Ini menunjukkan pelbagai percampuran dalam pembinaan adat Melayu. Dalam soal pembinaan adat Melayu, kita dapat melihat tiga bentuk pengaruh yang besar dalam proses pembinaan adat Melayu.
Adat atau budaya yang dipengaruhi adat (1)Hindu dan Buddha, (2)zaman Hindu/Buddha dan Islam, (3)adat yang berteraskan Islam.
(1)Adat Melayu yang awal dipengaruhi oleh unsur-unsur Hindu dan Buddha yang diperolehi melalui kitab-kitab lama seperti Rayamana dan Mahabrata. Ketika adat ini diamalkan, Islam masih belum sampai ke Nusantara.
Ada diantara adat-adat dalam period Hindu dan Buddha ini masih diamalkan sehingga ke hari ini. Ini merupakan salah satu contoh adat-adat Hindu yang ditiru oleh masyarakat Melayu dahulu antaranya :
i- upacara persandingan didalam majlis-majlis perkahwinan masyarakat Melayu.
ii- Pemujaan Raja secara melebih-lebih dalam masyarakat Melayu. suatu ketika dahulu juga merupakan cerminan kepada pengaruh Hindu Dan Buddha dalam masyarakat Melayu bahkan perkataan “Raja” itu sendiri pun sudah memperlihatkan pengaruh Hindu yang tebal. Begitu juga dari aspek pertabalan dan adat istiadat Istana Melayu, terlihat lagi kekuatan unsur Hindu dan Buddha dalam mencorakkan adat Melayu itu.
(2)Period atau peringkat yang kedua ialah pengaruh unsur campuran Hindu/Buddha dan Islam. Pada zaman ini Islam sudah datang ke Nusantara dan majoriti orang Melayu pun sudah beragama Islam.
Namun pengaruh adat lama yang berteraskan Hindu dan Buddha masih diamalkan. Justeru zaman ini digelar zaman campuran adat Hindu/Buddha dan Islam dalam masyarakat Melayu. Pada zaman ini, walaupun masyarakat Melayu sudah Islam, namun mereka mengamalkan adat-adat yang dianggap menyimpang dari ajaran Islam. Sebagai contoh (i )masyarakat Melayu mengamalkan adat mandi Safar yang dianggap (sebagai suatu usaha untuk membuang sial bulan Safar dalam kehidupan mereka).
Ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menganggap perbuatan itu sebagai khurafat. Begitu juga( ii)adat puja kampung,(iii) puja pantai dan sebagainya. Ia jelas bertentangan dengan Islam, tetapi tetap diamalkan dengan meluas didalam masyarakat Melayu yang masih tebal dengan pengaruh Hindu dan Buddha ketika itu.
(3)Pengaruh unsur luar yang ketiga didalam masyarakat Melayu ialah pengaruh Islam iaitu pengaruh yang paling kuat sekali dalam kebudayaan dan adat Melayu.
Bagi masyarakat Melayu, adat ialah kepatuhan yang kedua selepas agama mereka iaitu Islam. Kepatuhan kuat orang Melayu kepada agama Islam diakui oleh Prof. Syed Naquib Al-Attas yang mengatakan Islam telah mentamadunkan masyarakat Melayu. Perlembagaan Malaysia sendiri telah mendefinisikan Melayu sebagai mereka yang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu. Ini menunjukkan betapa kuatnya Islam didalam hidup orang Melayu.
Apa yang ingin dijelaskan disini ialah betapa pentingnya agama Islam kepada orang Melayu. Kerana kepentingan itu, pada zaman pengaruh Islam yang kuat ini, (i) masyarakat Melayu menjadikan Islam sebagai teras kepada pembentukan adatnya. Adat-adat yang bertentangan dengan ajaran Islam semakin tidak popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan semakin dikurangkan penggunaanya. Namun pada zaman Islam ini, adat-adat lampau yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam tetap diteruskan pengamalanya.
Adat-adat Melayu yang bercirikan Islam merangkumi contoh (i)adat ketika seseorang dilahirkan,( ialah adat bercukur, melaungkan azan dan iqamat ke telinga bayi dan adat membelah mulut). (ii) seseorang meningkat remaja,(iii) dewasa,(iv) adat dalam kehidupan sehari-hari dan(v) adat ketika seseorang itu meninggal dunia. Adat-adat yang diamalkan ini sebenarnya merupakan apa yang disebut sebagai perkara sunat didalam ajaran Islam.
Sebagai petunjuk kepada pengaruh Islam didalam adat Melayu ialah adat ketika seseorang itu baru dilahirkan. Antaranya ialah adat bercukur, melaungkan azan dan iqamat ke telinga bayi dan adat membelah mulut.Adat Bercukur ialah (perbuatan mencukur rambut asal bayi sehingga botak, ianya biasa diadakan pada hari-hari ganjil seperti hari ketiga, ketujuh, kesembilan dan seterusnya. Bercukur bertujuan membuang rambut asal bayi yang dianggap kotor dan tidak akan tumbuh dengan baik. Ia sesuai dengan ajaran Islam yang mementingkan aspek kebersihan dan kesihatan).
Azan dan Iqamat pula (merupakan tuntutan Islam untuk memulakan pendengaran seseorang yang baru dilahirkan itu dengan kalimat-kalimat yang mulia. Ada juga golongan tua Melayu mengatakan ianya merupakan simbolik kepada singkatnya hidup didunia ini iaitu sesingkat masa yang diambil antara iqamat dan solat yang akan didirikan. Ketika dilahirkan kita diazan dan diiqamatkan, dan apabila kita meninggal dunia, kita disolatkan dengan solat jenazah).
Adat membelah mulut pula menjadi (tradisi masyarakat Melayu dengan melalukan manisan ke bibir bayi yang baru dilahirkan. Adakalanya juga digunakan emas bagi maksud itu. Adat membelah mulut ini biasanya dilaksanakan oleh orang-orang yang dianggap alim oleh masyarakat. Ada masa-masanya, ia juga dilakukan oleh bidan yang menyambut kelahiran bayi itu. Ia bertujuan supaya bayi yang dibelah mulutnya akan mengikut perangai orang yang membelah mulutnya apabila sudah dewasa nanti).
Masyarakat Cina
Masyarakat Cina di Malaysia juga seperti masyarakat-masyarakat lain yang mempunyai adat dan cara hidupnya sendiri. Secara teorinya, dapat kita katakan bahawa adat kaum Cina di Malaysia ialah warisan daripada negara China. Ini memandangkan berlaku proses kemasukan besar-besaran kaum Cina ke Tanah Melayu pada awal abad ke 19 dahulu, kemasukan kaum Cina ke Tanah Melayu ketika itu secara tidak langsung telah membawa sekali segala adat istiadat mereka.
Adat atau budaya masyarakat cina
Kaum Cina di Malaysia mempunyai beberapa pegangan dalam menjalankan proses kehidupan mereka, seperti juga lain-lain kaum, masyarakat Cina juga mempunyai adat tentang perkahwinan, kematian, dan sebagainya. Apa yang menarik berkenaan (adat kaum Cina ialah suatu bentuk adat dan petua untuk kehidupan yang mereka namakan “Feng Shui”, yang mana pengaruhnya masih menebal dalam kalangan mereka pada hari ini). Lazimnya adat istiadat Cina dipengaruhi oleh unsur Buddha yang menjadi pegangan kebanyakan ahli dalam masyarakat Cina. Falsafah lampau juga banyak mempengaruhi adat istiadat Cina sehingga menyebabkan mereka mempunyai pelbagai acara-acara dan pantang larang yang berorientasikan adat.
Seperti juga masyarakat majoriti Melayu dan Islam, contoh adat atau budaya masyarakat Cina juga (i-) mementingkan nasab keluarga dari sebelah lelaki. Nama pangkal seseorang iaitu nama keluarga didalam masyarakat Cina ialah nama keluarga disebelah lelaki. Sebagai contoh, nama Prof. Dr. Teo Kok Seong dan Prof. Wang Gunwu, nama pangkal mereka iaitu Teo dan Wang itu ialah nama warisan keluarga ayah mereka yakni nama keluarga sebelah lelaki. Kaum lelaki Cina juga seperti kebanyakan lelaki bangsa lain, dilantik menjadi ketua keluarga dan merupakan waris utama pusaka keluarga).Ini merupakan salah satu aspek adat yang menjadi amalan masyarakat Cina.
Kepentingan meneruskan kesinambungan keluarga didalam masyarakat Cina, contoh (ii) aspek perkahwinan juga menjadi amalan masyarakat mereka. menyebabkan perkahwinan seorang lelaki didalam keluarga adalah amat penting. (Secara tradisi, perkahwinan tersebut akan mengikuti beberapa upacara yang bermula dengan merisik oleh seorang perantara hinggalah perkahwinan. Namun, pada zaman yang lebih moden ini, hanya pendaftaran menurut undang-undang saja yang diperlukan dan akan diadakan majlis keraian yang mewah di restoran). contoh (iii) Kelahiran anak mengikut adat dan pantang larang Cina ialah sangat penting. Justeru (kesihatan si ibu dan kandunganya adalah amat dititik beratkan. Si ibu digalakkan tidur dan makan dengan baik, membaca buku yang baik dan melihat benda-benda yang cantik. Apabila anak itu dilahirkan, anak itu dibersihkan dan akan dibedung. Pada hari ke 29 kelahiran, rambut si anak dicukur dan rambutnya dibungkus dengan kain merah. Rambut itu akan digantung berdekatan bantalnya selama 100 hari dan kemudian rambut itu dibuang ke sungai. Anak itu diharap akan menjadi berani pada masa hayatnya. Setelah sebulan kelahiran anak itu, upacara Bulan Penuh akan diadakan dengan meriah. Ulang tahun kelahiran seseorang kaun Cina tidak akan diperingati, kecuali diperingati oleh anaknya apabila seseorang itu sudah tua dan ianya akan diadakan secara besar-besaran). contoh (iv) Kematian ibu bapa dalam masyarakat Cina adalah (upacara yang amat berharga dan mahal kosnya yang terpaksa ditanggung oleh anak-anak. Keranda yang baik, tanah kuburan yang baik dan pakaian kematian yang bagus pastinya memerlukan belanja besar. Bagi masyarakat Cina inilah hadiah terbaik seorang anak kepada ibu bapanya. Jika si anak tidak mampu, masyarakat sekeliling pasti akan membantu. Anak lelaki yang tua memainkan peranan utama memastikan upacara mandi, memberi makan, kafan dan bertanggungjawab memasukkan mayat ke dalam keranda seperti yang dinasihatkan oleh seorang tukang tilik. Keranda tersebut akan dijaga hingga beberapa hari tertentu untuk lawatan dan sembahyang seterusnya akan dikebumikan pada satu hari yang ganjil).
Didalam masyarakat Cina, upacara pengkebumian (adalah acara yang amat meriah dengan dipenuhi dengan peraturan dan adat tertentu. Selepas pengkebumian mayat, akan diadakan pelbagai upacara lain terutama adat pembakaran colok dan alatan yang diperbuat daripada kertas sebagai bekalan hidup si mati di alam akhirat. Upacara ini biasanya akan diketuai oleh seorang Sami yang diamanahkan oleh keluarga si mati).
Oleh kerana adat kematian ini dianggap terlalu penting dalam masyarakat Cina, banyak kepercayaan dan pantang larang mesti diperhatikan dan dipatuhi apabila berlaku sesuatu kematian.
Sepanjang tahun dalam kehidupan masyarakat Cina, banyak sekali contoh (v)perayaan yang diikuti dan diraikan oleh orang Cina. Setiap bulan, pasti ada kegiatan dan upacara tertentu serta dewanya yang berlainan untuk dipuja. Adat resam masyarakat Cina amat banyak dan ianya akan diamalkan mengikut perubahan musim pertanian dan negeri China.
Antara upacara-upacara yang diraikan masyarakat Cina selain dari Tahun Baru Cina dan Chap Goh Meh ialah (adat Ulang Tahun Kematian, adat Puja Kampung, adat Mencuci Kubur, Sembahyang Hajat dan Menjamu Keramat).
Adat-adat ini tampak seumpama perbuatan-perbuatan yang menjadi amalan masyarakat Melayu. Namun ianya pastilah berbeza dan dijalankan dengan cara dan matlamat yang berbeza bagi mewujudkan identiti masyarakat Cina yang tersendiri.
masyarakat india
Seperti juga kaum Cina, kaum India juga bukanlah penduduk asal Malaysia. Kemasukan masyarakat India ke Tanah Melayu sudah berlaku sejak sekian lama. Samada kemasukan itu suatu bentuk penghijrahan atau sekadar merantau untuk mencari rezeki, hakikatnya kemasukan ini sudah berlaku sejak sekian lama. Apabila Melaka muncul sebagai pusat perdagangan serantau menjelang abad ke 15,masyarakat India yang terdiri daripada golongan pedagang, sami Buddha dan Hindu, tukang dan sebagainya tidak terlepas pandang untuk memasuki Tanah Melayu dengan pelbagai kepentingan. Kemasukan mereka ini juga sudah pasti membawa bentuk adat istiadat mereka yang tersendiri.

Masyarakat India biasanya mengikuti (adat resam yang berteraskan agama Hindu) meskipun ramai orang India pada hari ini beragama lain. Seperti kaum-kaum lain di Malaysia.
Adat dan budaya masyarakat India
mereka juga mempunyai (contoh) (i)- budaya berkunjung ke rumah rakan dan sanak saudara serta turut bersedia menerima kunjungan dari jiran tetangga. Di dalam masyarakat India, jika kita ingin berkunjung kerumah tetamu, amatlah digalakkan membawa buah tangan sebagai tanda terima kasih kepada tuan rumah. Mereka juga biasanya melangkah kedalam rumah dengan kaki kanan dahulu.
Kaum India juga mengamalkan (ii) adat bertegur sapa sesama sendiri. Mereka menyapa dengan sebutan ‘vanakam’ dan sentiasa bertanyakan tentang kesihatan, kerja, perniagaan atau sebagainya antara rakan dan sanak saudara mereka.
(Apabila tetamu bertandang ke rumah mereka, tetamu sentiasa dijamu dengan minuman atau makanan dan tetamu mesti sudi menerima hidangan dengan baik sebagai tanda hormat kepada tuan rumah. Didalam masyarakat India juga, jika menerima sesuatu, dimestikan menggunakan tangan kanan sebagai tanda kebaikan dan kesyukuran).
(Keluarga amat penting dalam masyarakat India. Meskipun bapa memainkan peranan utama tetapi ibu adalah institusi yang paling dihormati dan dianggap mulia, ‘Ibu adalah umpama Tuhan’ dan anak perempuan juga dipanggil ‘amma’ seperti seorang ibu didalam tradisi India. Oleh itu, penjagaan anak perempuan amat dititik beratkan terutama ketika mereka masih dara).
Seorang suami pula didalam masyarakat India adalah ‘Tuhan bagi isterinya’ dan mesti sentiasa dihormati. Oleh kerana itu, proses contoh adat (iii) perkahwinan India (mesti ditentukan oleh seorang ketua agama yang membuat tilikan masa bertuah serta keserasian pasangan yang akan berkahwin). Masa perkahwinan yang dianggap bertuah amatlah penting bagi menjalankan segala acara dan upacara untuk mengelakkan berlakunya malapetaka ataupun nasib buruk. Untuk mengelakkan dari keadaan buruk, maka biasanya perkahwinan dilakukan pada waktu tengah malam atau waktu matahari akan naik. Upacara perkahwinan dilakukan di rumah pengantin perempuan ataupun di kuil oleh seorang ketua agama. Pada satu kawasan empat segi di kuil itu, sami akan menyalakan api dan menyembah Tuhan untuk menyaksikan perkahwinan itu.
Seperti juga adat kaum-kaum lain, contoh (iv) kelahiran seorang bayi adalah acara yang penting kepada keluarga dan masyarakat India. Semua saudara mara akan dimaklumkan apabila lahirnya seorang bayi. Pantang larang , Selama 16 hari selepas kelahiran bayi, ahli keluarga tidak boleh melakukan sebarang upacara agama. Pada hari ke 16 kelahiran, upacara penting diadakan untuk menamakan anak. Ketika ini rumah dan buaian akan dihias cantik dan jiran-jiran dijemput bersama meraikan upacara tersebut.
Dalam aspek pemberian nama anak, nama seorang anak diperolehi dari almanak Hindu mengikuti bintang dan hari kelahirannya. Seorang ketua agama akan dirujuk untuk mencari nama bertuah mengikuti aksara bintangnya. Ketika menamakan itu, bayi dipangku oleh orang tua satu persatu sambil dinyanyikan doa agama oleh kaum wanita mereka.

contoh (V) Dari aspek perayaan, terdapat banyak perayaan di kalangan masyarakat India. Di sepanjang tahun, mengikut kalendar Hindu mereka akan mengadakan pelbagai upacara sembahyang berkaitan musim dan perubahan tahun seperti di negeri India. Masyarakat Hindu akan bersembahyang sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengahari dan petang di tempat tertentu di rumah. Mereka juga pergi ke kuil untuk bersembahyang ataupun mengadakan upacara agama.
Perayaan kaum India diadakan dengan mengikuti peredaran bulan dan setiap bulan ditandakan oleh bulan mengembang dan bulan menirus. Terdapat 21 jenis perayaan didalam adat masyarakat India. Perayaan-perayaan itu termasuklah Deepavali, Thaipusam dan Thaiponggal.
Deepavali ialah ‘perayaan cahaya’ sebagai tanda kejayaan ‘cahaya’ ke atas ‘gelap’ atau ‘ilmu’ ke atas ‘kejahilan’ ataupun ‘keadilan’ mengatasi ‘kezaliman’. Inilah perayaan paling utama bagi masyarakat India. Pada hari ini sembahyang akan diadakan terutama untuk mendoakan roh keluarga yang sudah meninggal dunia.
Thaipusam pula adalah perayaan bulan “Thai” untuk membersihkan diri dengan menggunakan susu, madu dan bunga di kuil dan membuat persembahan kepada Dewa Subramaniam. Pada masa perayaan ini diadakan, ‘kavadi’ yang berisi buah-buahan, susu dan akan dibawa pelbagai persembahan.
Thaiponggal pula merupakan perayaan menuai dan ‘masak padi baru’ serta ‘memuja semangat padi’. Ia adalah masa yang amat baik untuk mangadakan perkahwinan dan upacara lain. Rumah akan dibersihkan dan dihiasi, ‘ponggal’ pula akan dimasak di dalam periuk baru untukdipersembahkan kepada Dewa Matahari dan juga disedekahkan kepada jiran tetangga.
Melanjutkan perbicaraan terdahulu berkaitan adat atau disebut juga budaya masyarakat-masyarakat utama Malaysia, apa yang cuba digambarkan bukanlah bagaimana bentuk adat-adat tradisi masyarakat di Malaysia semata-mata, tetapi kita berusaha untuk melihat bagaimana setiap kaum itu mempunyai adat dan kepercayaanya yang membentuk identiti dan keperibadian mereka yang tersendiri. Secara tidak langsung juga didalam bahagian itu kita telah membicarakan kepentingan adat kepada kaum-kaum tersebut. Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas, namun jika diteliti, kita pasti akan memahami akan kepentingan adat-adat itu sekurang-kurangnya sebagai perlambangan identiti dan peribadi masyarakat mereka.
Bercakap berkenaan identiti dan keperibadian masyarakat. Kita sedia memaklumi bahawa di Malaysia, kita tidak hanya mempunyai satu bangsa sahaja. Malaysia merupakan sebuah negara yang bangsa-bangsa didalamnya adalah bercampur ataupun dalam istilah yang lebih mudah, masyarakat yang majmuk. Justeru apa yang ingin dijadikan topik disini ialah bagaimana kepelbagaian adat didalam masyarakat Malaysia yang membentuk identiti masing-masing ini mampu disatukan dan dijadikan sebagai cerminan peribadi dan identiti kepelbagaian itu secara menyeluruh dan bersifat nasional. Maknanya (1 )kita perlu membicarakan tentang bagaimana kepelbagaian adat di Malaysia itu dapat disatukan dan dijadikan sebagai adat yang satu bagi menjadi lambang identiti dan peribadi nasional?.(2) Perlu dibincangkan juga ialah apakah aspek teras yang menjadi garis panduan budaya nasional ini?.

Dalam mengungkap permasalahan ini, kita sebenarnya hanya perlu mencari aspek adat yang menjadi teras kepada pembentukan adat nasional yang menjadi perlambangan identiti dan keperibadian seluruh rakyat Malaysia dan apakah kepentingan aspek adat itu serta kepentingan identiti dan keperibadian kebangsaan itu sendiri.
Aspek adat yang menjadi teras kepada pembentukan identiti nasional lebih mudah kita fahami melalui pembentukan Dasar Kebudayaan yang digubal pada 1971. Dasar ini diputuskan melalui Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak dan ianya dihadiri oleh wakil-wakil dari setiap kaum di Malaysia.
Melalui pembentukan ini, secara rasmi telah digariskan beberapa perkara yang menjadi teras kepada pembentukan identiti dan keperibadian seluruh rakyat Malaysia. Justeru melalui kewujudan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang memang digagaskan bagi maksud itu, kita akan dapat mengungkap aspek adat yang menjadi teras kepada pembentukan identiti nasional yang menjadi fokus tulisan ini.
Antara aspek teras dalam pembentukan identiti dan peribadi nasional ialah identiti dan kepribadian Malaysia haruslah berteraskan adat asal rantau ini. Definisi geografi berkaitan ‘rantau ini’ ialah kawasan yang merangkumi Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand, Kampuchea serta Kepulauan Selatan Pasifik iaitu Polynesia, Melanesia, Oceania sehingga ke Madagascar. Rantau ini adalah merupakan bahagian utama dari kawasan tamadun atau budaya Melayu. Rantau ini (merupakan pusat pemancaran, pengembangan warisan adat masyarakat Melayu sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan keagungan tamadun Melayu yang berpusat di Melaka yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa yang juga dipanggil sebagai linguafranca).
Adat serantau ini juga digambarkan melalui persamaan-persamaan di bidang bahasa yang berasaskan keluarga bahasa Melayu iaitu Austronesia, kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadiannya. Justeru dalam aspek Malaysia, secara mudahnya, aspek adat yang menjadi teras kepada pembentukan identiti nasional ialah adat masyarakat Melayu.
Hal ini tidak dapat dipertikaikan oleh masyarakat lain kerana adat atau budaya Melayu pada hari ini merupakan cara hidup, lambang identiti dan asas ukuran keperibadian kepada lebih 200 juta umat manusia yang menuturkan satu rumpun bahasa yang sama. Maka apabila dipersetujui adat masyarakat asal serantau dijadikan identiti Malaysia, pastilah di Malaysia, adat Melayu yang paling layak diletakkan didalam kategori itu. Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim sendiri, walaupun berbangsa Cina, turut mengakui bahawa masyarakat Melayu ialah nuklius ataupun teras dalam masyarakat Malaysia. Justeru adat Melayu dijadikan teras identiti semua kaum di Malaysia adalah sangat berpatutan ataupun dalam istilah arab dipanggil adil.

Aspek teras pembentukan identiti yang kedua ialah menggunakan unsur-unsur adat dan kebudayaan luar yang sesuai dan wajar untuk diterima sebagai identiti Malaysia. Aspek ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum yang mewarisi pelbagai adat dan budaya. Dengan itu unsur-unsur adat Cina, India, Kadazandusun, Arab, Barat dan lain-lain unsur adat yang sesuai, boleh diberi pertimbangan untuk diterima dan dijadikan sebagai identiti kebangsaan.
Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung kepada kerelevenannya yang pasti tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan, prinsip-prinsip Rukun Negara, kepentingan nasional, asas-asas moral serta kerohanian sejagat pada amnya dan pada Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.
Dalam penerimaan teras kedua ini, kita melihat berlaku tolak ansur sesama kaum di Malaysia dalam soal pembentukkan keperibadian dan identiti kebangsaan. Bukan sahaja identiti Melayu diangkat sebagai identiti kebangsaan, tetapi juga identiti kaum-kaum lain di Malaysia. Ia juga diterima kerana terdapat unsur-unsur adat yang sama dan seiring dengan adat teras iaitu adat dan kebudayaan Melayu.
Namun, hal ini juga tidak boleh dijadikan isu samada identiti kebangsaan itu orientasinya adalah daripada warisan adat kaum yang mana. Ini kerana pembentukkan identiti dan keperibadian kebangsaan itu bukanlah bertujuan untuk mempromosikan adat masing-masing untuk digunakan oleh semua rakyat Malaysia, sebaliknya ia jelas berperanan untuk menyeragamkan identiti masyarakat yang pelbagai untuk dijadikan identiti Malaysia yang satu. Namun identiti bangsa juga masih boleh dikekalkan dan dipelihara kelangsunganya.
Aspek ketiga yang menjadi teras kepada pembentukkan keperibadian dan identiti kebangsaan ialah agama Islam. Agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting didalam proses pembangunan dan perpaduan negara. Agama juga perlu bagi merealisasikan pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia.
Agama Islam memberi panduan kepada manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal. Kerana itu ia patut dijadikan unsur yang penting dalam pembentukan identiti kebangsaan. Ini juga memandangkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Di samping itu, telah wujudnya fakta sejarah dan nilai-nilai Islam yang telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat rantau ini sejak dahulu lagi.
Bercakap pula tentang kepentingan aspek-aspek adat yang dijadikan teras kepada pembentukan identiti dan keperibadian kebangsaan, aspek teras yang disenaraikan seperti adat masyarakat rantau ini, adat luar yang sesuai dan adat yang berpandukan Islam pasti mempunyai kepentingannya yang tertentu.
Yang pertama, kepentingan adat Melayu dijadikan sebagai teras dalam pembentukan identiti nasional ialah untuk memastikan kestabilan sosial dan politik di Malaysia terus terpelihara. Harus kita fahami apabila kita bercakap berkenaan Malaysia, majoriti penduduknya ialah orang Melayu. Kerana orang Melayu ialah majoriti didalam masyarakat Malaysia, adalah penting untuk menjadikan adat kaum yang majoriti sebagai ikutan kepada kaum-kaum lain yang lebih kecil populasinya. Ini bagi memastikan tidak berlaku pertikaian kepada masyarakat lain di Malaysia khususnya kepada masyarakat Melayu sendiri sebagai entiti yang terbesar dan bertaraf peribumi di Malaysia. Kedudukan masyarakat Melayu yang dianggap nuklius didalam sistem sosial di Malaysia juga merupakan kepentingan yang perlu diambil berat sesuai dengan kedudukan istimewanya yang dijamin Perlembagaan.
Kedudukan Raja-Raja, Yang Dipertua Negeri dan Yang Dipertuan Agong juga merupakan aspek yang penting untuk menjadikan adat Melayu sebagai pemangkin identiti nasional. Raja-Raja dan Yang Dipertuan Agong merupakan tuan kepada negeri-negeri dan negara Malaysia sendiri. Mereka juga merupakan orang Melayu. Kedudukan mereka yang menjadi lambang perpaduan negara ini menyebabkan adat istiadat mereka iaitu adat istiadat Melayu diterima sebagai suatu unsur teras dalam melaksanakan identiti Malaysia secara bersama. Justeru untuk memastikan Institusi Raja-Raja Melayu terus dilindungi dan dihormati, maka dalam usaha untuk membentuk identiti dan peribadi kebangsaan, adat Melayu tidak boleh dikesampingkan.
Kita juga harus melihat kepentingan untuk menerima mana-mana unsur adat dan budaya luar untuk dijadikan adat dan budaya kebangsaan. Walaupun telah dipersetujui bahawa adat Melayu merupakan adat teras yang dijadikan ikutan setiap rakyat Malaysia, namun ketetapan itu tidak bermaksud hanya itu sahaja adat yang akan diterima kearah pembentukan identiti yang seragam dalam masyarakat Malaysia. Adat dan budaya kaum lain yang sesuai juga dapat dipraktikkan asalkan ianya tidak bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara. Ini bagi memastikan tiada suara-suara yang mempertikaikan tindakan kerajaan yang menggariskan unsur-unsur penting kearah membentuk budaya kebangsaan. Pendek kata, penerimaan unsur-unsur asing ini ialah supaya keharmonian kaum di Malaysia akan terus berlangsung dengan jayanya.
Unsur-unsur adat dan budaya luar juga penting untuk dijadikan adat dan budaya kebangsaan kerana bagi menghasilkan budaya kebangsaan yang tidak terlalu stereotaip dengan adat dan budaya Melayu, adat lain juga perlu disenaraikan. Budaya kebangsaan diwujudkan untuk menunjukkan peribadi dan identiti masyarakat Malaysia yang pelbagai, bukan hanya untuk melambangkan budaya dan adat Melayu semata-mata. Dengan adanya unsur-unsur yang diluar daripada adat dan budaya Melayu yang sesuai, maka akan terhasil suatu modul identiti masyarakat yang pelbagai dan bersifat luwes.
Unsur Islam yang dijadikan teras kebudayaan kebangsaan juga penting bagi menjamin kedudukannya yang merupakan agama rasmi Malaysia. Islam tidak boleh dan tidak dapat disamakan dengan agama-agama lain kerana ia merupakan agama yang sebenar. Maka dalam usaha menerapkan identiti kebangsaan, Islam tidak boleh dikesampingkan. Selain kerana kedudukan Islam sebagai agama rasmi, ia juga penting kerana Islam merupakan tunjang kepada kehidupan masyarakat Melayu iaitu masyarakat peribumi dan majoriti di Malaysia. Walaupun identiti dan peribadi kebangsaan adalah berteraskan Islam, namun agama-agama lain bebas untuk dilaksanakan dengan syarat amalan agama-agama lain tidak akan menggugat kedudukan agama Islam sebagai agama utama di Malaysia.
Masyarakat Malaysia sudah mempunyai adat yang tersendiri, tetapi kenapa kerajaan masih berkehendak supaya diwujudkan suatu adat dan budaya baru bagi mencerminkan identiti dan keperibadian Malaysia yang seragam? Adakah dengan budaya dan adat kaum-kaum yang sedia ada di Malaysia tidak cukup untuk mencerminkan identiti negara?
Bagi mewujudkan identiti yang seragam seiring dengan kesanggupan pelbagai kaum untuk hidup bersama di Malaysia, tidak dapat tidak, penyeragaman identiti dan keperibadian kebangsaan ini perlu dilakukan. Antara kepentingan masyarakat Malaysia disatukan melalui adat dan budaya kebangsaan ialah untuk melahirkan satu cara hidup masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa, agama, budaya dan bahasa pertuturan tetapi dapat hidup berdampingan, berganding bahu, bertimbang rasa dan penuh dengan sikap toleran. Penyeragaman identiti dan keperibadian berbagai-bagai etnik adalah perlu untuk rakyat Malaysia hidup bersatu padu dan aman daripada persengketaan serta kucar-kacir. Dalam erti kata yang lain, identiti dan keperibadian yang seragam ini akan membolehkan perpaduan nasional berlangsung dengan lebih utuh lagi.
Identiti dan kepribadian kebangsaan juga berkepentingan untuk menghindarkan masyarakat dari me1akukan perkara-perkara yang menyalahi norma-norma dan garis panduan dalam kehidupan bermasyarakat. Budaya kebangsaan ini penting ke arah melahirkan satu negara bangsa Malaysia yang maju, progresif, saintifik dan bersatu padu tanpa ada unsur-unsur negatif dalam kehidupan seharian sesama sendiri. Tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang mengamalkan kebudayaan, adat resarn, agarna dan bahasa masing-masing diharap akan dapat bersatu melalui usaha bersama yang murni ini.
Kebudayaan dan adat ahli masyarakat Malaysia walaupun berbeza, namun mempunyai asas yang sama iaitu membentuk keperibadian dan jati diri individu ke arah yang lebih baik. Melalui usaha membentuk identiti dan keperibadian kebangsaan, ia membolehkan masyarakat negara kita berinteraksi dengan lebih baik di antara satu sama dalam melaksanakan matlamat yang sama iaitu untuk membentuk masyarakat Malaysia yang bepegang teguh dengan ajaran agama masing-masing dan mementingkan nilai-nilai murni yang diajar didalarn agama mereka. Interaksi antara kaum ini penting untuk menghindari masyarakat daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat dan menyalahi norma-norma kehidupan. Interaksi antara kaum yang baik juga adalah merupakan satu jalan kearah perpaduan nasional dan mencetuskan masyarakat yang harmonis dan bersatu padu.
Budaya yang seragam bagi rakyat Malaysia juga penting bagi memastikan perancangan dan tindakan kerajaan untuk menerap serta menanam nilai-nilai murni ke dalam akal fikiran, hati budi serta perilaku masyarakat Malaysia di pelbagai lapisan masyarakat dapat direalisasikan. Amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang merupakan perkara penting dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan seharusnya ditegaskan sebagai sebahagian dari proses pembangunan identiti untuk mencapai tahap keutuhan peribadi dan perilaku yang mulia dan berbudi bahasa. Maka identiti dan keperibadian kebangsaan ini diharap akan meneguhkan kembali kekuatan peribadi dan jati diri masyarakat.
Segala tindakan idealisme kebangsaan ini juga adalah suatu usaha untuk membina bangsa Malaysia melalui semangat Rukunegara. Perisytiharan Rukunegara dengan jelas meletakkan negara di atas cita-cita perpaduan, kehidupan demokratik, keadilan, tradisi budaya serta masyarakat progresif. Oleh itu, budaya dan identiti seragam ini penting untuk memastikan cita-cita tersebut dapat direalisasikan dengan jayanya.

Berbagai usaha telah dijalankan bagi mencapai matlamat untuk mewujudkan identiti dan keperibadian kebangsaan. Secara umumnya pencapaian matlamat dan objektif hasrat ini telah menunjukkan kejayaan yang boleh dibanggakan. Perlu diingat bahawa didalam pembentukan dan pewujudan satu kebudayaan kebangsaan, proses penyerapan dan penerimaannya akan mengambil masa yang lama dan mungkin melangkaui satu generasi ke satu generasi yang lain.
Penggubalan dan pelaksanaan dasar ini, meskipun masih lagi baru usianya namun pembentukan identiti nasional dan perpaduan kaum dan nilai murni Islam telah pun dilaksanakan. Adalah didapati bahawa pencapaian ke arah ini telahpun jelas kelihatan semenjak ia mula diterapkan. Identiti kewarganegaraan dan adat Malaysia pada hari ini boleh didapati didalam perayaan-perayaan antarabangsa dan juga di dalam kegiatan seni sukan dan perayaan pelbagai kaum di Malaysia sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.
Secara ringkas bolehlah dikatakan aspek adat yang menjadi teras identiti dan keperibadian negara Malaysia telah dapat diterima dan diikuti secara beransur-ansur oleh setiap golongan rakyat Malaysia. Namun demikian pelaksanaannya pasti rumit dan tidak akan dapat dicapai dalam masa yang singkat. Kesedaran dan kefahaman yang luas akan dapat membantu mencapai hasrat dan cita-cita pelaksanaan ini kerana dengan keinsafan itu sahaja adat yang membentuk identiti dan keperibadian kebangsaan akan dapat dibezakan dengan adat yang bersifat kesukuan atau perkauman. Identiti dan keperibadian yang dipupuk itu akan mencirikan sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas suku kaum dan akan memperlihatkan keperibadian kebangsaan Malaysia itu sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.
Budaya – Perayaan Masyarakat Majmuk di Malaysia
Sejarah silam Malaysia yang menarik, sebagai tempat persinggahan laluan perdagangan rempah ratusan,ianya telah menjadikannya sebuah pusat gabungan pelbagai budaya. Penduduk Melayu, Cina dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik. Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India.
1-            Salah satu bidang kebudayaan – melalui nilai dan norma yang merangkumi p’kara spt( peraturan-peraturan undang-undang, adat resam, ‘folk-ways & ‘mores’, gaya dan perlakuan, pantang larang, upacara dan nilai-nilai keagamaan dan bersopan santun).
Budaya Masyarakat Malaysia -boleh dilihat melalui perayaan yang disambut oleh :
orang Melayu yang beragama Islam ialah menyambut (Hari Raya Aidilfitri).
(Sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula dengan ibadat puasa di bulan Ramadan. Sepanjang bulan Ramadan umat Islam berpuasa pada siang hari dan mengerjakan sembahyang terawih pada sebelah malamnya. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum 1 syawal di mana Hari Raya Aidilfitri dirayakan. Hari Raya disambut dengan penuh kesyukuran. Umat Islam saling bermaaf-maafan dan kunjung mengunjungi untuk mengeratkan silaturahim. Rumah terbuka akan diadakan bagi mempersilakan tetamu datang berkunjung.)
Budaya Masyarakat Cina –
Perayaan Tahun Baru Cina pula disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan (kedatangan tahun baru) menurut kalendar mereka. Orang Cina percaya ada 12 binatang yang menaungi kalendar mereka iaitu tikus , lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi. Setiap binatang ini memberi signifikan dan tuahnya tersendiri.
•             Sambutan Tahun Baru Cina
(Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama.Tujuannya adalah untuk mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga. Ahli kelurga yang telah berumahtangga akan memberi ‘angpau’ kepada saudara mara dan sahabat yang belum berumahtangga. ‘Angpau’ membawa pengertian kesejahteraan yang berpanjangan, Sepanjang Tahun Baru Cina berlangsung, tarian singa dimainkan dari rumah ke rumah dan kedai-kedai untuk memberi berkat kepada mereka yang meraikan perayaan tersebut. Penutup kepada perayaan Tahun baru Cina ialah perayaan Chap Goh Meh).
Budaya Masyarakat India
Deepavali pula adalah salah satu perayaan yang disambut oleh masyarakat Hindu. Ianya dirayakan pada bulan gelap bernama ’aippasi’ pada bulan Oktober dan November. Deepavali bermaksud ‘sebarisan pelita’. Dengan memasang pelita, mereka percaya bahawa kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan.
•             Sambutan Deepavali
(Di pagi hari, masyarakat Hindu akan menyucikan tubuh badan dengan memakai sedikit minyak di kepala dan mandi. Kemudian mereka bersembahyang di rumah atau dikuil-kuil.
Selepas bersembahyang, mereka berkunjung ke rumah kaum keluarga.Kebiasannya, surirumah akan menyediakan kotak-kotak kecil berisi manisan dan membawa bersama apabila berkunjung ke rumah saudara-mara mereka. Di kebanyakan rumah, ‘rangoli’ iaitu lukisan yang dibuat daripada tepung beras berwarna-warni akan menyambut tetamu di hadapan rumah).
Sebagai rumusan, kepelbagaian kaum di Malaysia mewujudkan pelbagai budaya dan seterusnya melahirkan suasana yang harmoni dan unik. Perayaan-perayaan yang disambut oleh masyarakat mengikut agama dan kepercayaan masing-masing mencorakkan lagi kepelbagaian budaya di Malaysia. Melalui perayaan-perayaan seumpama ini kita boleh mengenali identiti dan budaya sesuatu kaum yang terdapat di negara kita.

No comments:

Post a Comment